JOHOR BAHRU: Larian Obor Kuala Lumpur 2017 (KL2017) sempena temasya Sukan SEA ke-29 dan Para Asean ke-9 pada Ahad memulakan jelajah di Johor. Larian bermula di Dataran Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat dan berakhir di Universiti Teknologi Malaysia yang menyaksikan penyertaan kira-kira 300 orang peserta dan melibatkan laluan sejauh 15 kilometer. Acara pelepasan larian disempurnakan oleh Setiausaha Ahli Parlimen Pulai, Datuk Abd Rashid Kasman selaku wakil rasmi Datuk Nur Jazlan Mohamed pada pukul 9 pagi. Turut hadir Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Johor, Abdul Ghani Abdul Rahman. Selain Johor Bahru dan Kulai, obor turut dibawa mengelilingi Batu Pahat, Muar dan Tangkak yang melibatkan keseluruhan laluan melebihi 200 kilometer serta seramai 347 pembawa obor. Seorang pemegangnya merupakan Penolong Pengurus Pemasaran Sukan Telekom Malaysia Bhd, Zarina Md. Ismail. Semalam, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menyempurnakan Majlis dan Pelancaran Gimik Larian Obor KL di Muzium Tokoh di sini sebagai tanda permulaan larian Obor KL2017. Larian obor dijangka berakhir di Kuala Lumpur pada 19 Ogos depan sekaligus menandakan bermulanya temasya Sukan Sea Kuala Lumpur ke-29. - Bernama