suria

Beri Peluang Vingada Bukti Kemampuan - Khairy

Nelo Vingada.

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih baharu skuad bola sepak negara, Nelo Vingada perlu diberi peluang membuktikan kemampuannya mengemudi pasukan Harimau Malaya.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata, jurulatih baharu itu perlu diberi ruang untuknya menyesuaikan diri dahulu dan buktikan bahawa beliau merupakan pilihan yang tepat.

Khairy juga percaya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pasti sudah mempertimbangkan semua pilihan jurulatih yang mereka ada sebelum membuat keputusan memilih Vingada.

"Mereka (FAM) juga mungkin telah mengambil kira semua latar belakang jurulatih baharu itu sebelum membuat keputusan berkenaan," katanya kepada pemberita pada sesi bertemu skuad badminton negara sebelum berangkat ke Australia pada Rabu bagi menghadapi Piala Sudirman, di sini Selasa.

Pada Isnin, FAM dalam satu kenyataan mengumumkan pelantikan Nelo Vingada, 64, sebagai ketua jurulatih skuad Harimau Malaya yang baharu.

Beliau yang dijangka tiba di Malaysia pada 25 Mei ini akan memulakan tugas dengan mempersiapkan skuad negara menghadapi pusingan kelayakan Piala Asia 2019 menentang Korea Utara di Pyongyang, 8 Jun depan.

Vingada, yang digelar ''The Professor'' mempunyai pengalaman luas sebagai penolong Carlos Queiroz dalam skuad bawah 20 tahun Portugal (B-20) yang beraksi di Piala Dunia B-20 pada 1989 dan 1991.

Dalam tempoh 35 tahun kerjaya sebagai jurulatih, beliau juga pernah mengendalikan skuad kebangsaan Arab Saudi (1996/97), skuad Olimpik Mesir (2004/05), skuad kebangsaan Jordan (2007/09) dan skuad Olimpik Iran (2014).

Beliau juga cemerlang di peringkat kelab dengan membimbing kelab utama Mesir, FC Zamalek dan membantu FC Seoul dari Korea Selatan memenangi gelaran domestik.

Tugasnya yang terakhir adalah bersama kelab Liga Super India, North East United FC.

Vingada mengambil alih tugas Datuk Ong Kim Swee selepas pengendali Harimau Malaya itu diarahkan membimbing skuad B-22 pada Mac lepas. - BERNAMA

FAM, Nelo Vingada

Artikel Sebelum

KOM Selar Penganjur Maraton

Artikel Berikut

Artikel Lain