GEORGE TOWN: Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) semakin pasti mendapatkan dua pemain import, masing-masing dari Timur Tengah dan Afrika, bagi memantapkan cabaran pasukan itu dalam baki saingan Liga Super. Presidennya, Zairil Khir Johari berkata FAP ketika ini sedang memilih pemain Timur Tengah dan Afrika yang mempunyai pengalaman beraksi dalam liga utama di Eropah dan Amerika Syarikat. Namun, katanya tiada yang dimuktamadkan setakat ini dan FAP akan membuat pengumuman rasmi sebaik perjanjian dimeterai. “Ada sesetengah pemain telah menjalani sesi ujian tetapi kami belum membuat keputusan… kami masih membuka ruang kepada pemain lain,” katanya kepada Bernama apabila dihubungi pada Khamis. Beliau berkata fokus utama FAP adalah untuk mendapatkan pemain import yang mampu menjaringkan gol serta membantu pasukan itu daripada tersingkir ke Liga Perdana. "Dua daripada pemain import itu perlu memegang pasport negara Asia, saya percaya (jurulatih) Zainal Abidin (Hassan) akan memilih yang terbaik,” katanya. FAP dijangka melengkapkan proses itu sebelum pertemuan Liga Super menentang Kelantan di Kota Bharu, Rabu depan. Sementara itu, Zairil mengesahkan skuad itu telah mendapatkan dua pemain tempatan iaitu Azidan Sarudin dan Surendran Rasiah, masing-masing dari Kuala Lumpur dan Selangor. Skuad Harimau Kumbang telah beraksi dalam 12 perlawanan dengan menang hanya sekali dan dua kali seri. sekali gus berada di tangga tercorot Liga Super.