ALOR SETAR: Menteri Besar yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah malam Jumaat melepaskan bas yang membawa lebih 700 penyokong Kedah untuk menyaksikan perlawanan akhir Piala FA antara Kedah dan Pahang di Stadium Shah Alam. Acara pelepasan dilakukan pukul 11 malam di Wisma Darul Aman dengan melibatkan 16 buah bas. Ketika ditemui kemudiannya, Ahmad Bashah turut menasihatkan para penyokong Lang Merah agar menjaga displin dan tidak menimbulkan sebarang kekecohan ketika menyaksikan perlawanan berprestij itu. "Para penyokong Kedah perlu kekalkan imej baik dengan sentiasa menunjukkan displin yang baik. Apa yang kita perlu ketika ini adalah sokongan dan semangat tidak putus asa dari para peminat bola sepak Kedah," katanya. Sebelum ini Pengerusi Jawatan Kuasa Teknikal Tiket dan Pintu Masuk KFA, Shaharol Niza Omar berkata lebih 250 bas melibatkan 10,000 penyokong akan mula bergerak malam Jumaat dan awal pagi Sabtu daripada beberapa daerah seperti Jitra, Alor Setar, Pendang, Yan, Sungai Petani, Kulim, Kuala Ketil dan Baling. Ahmad Bashah turut menyuarakan keyakinan bahawa pasukan Kedah mampu membawa pulang Piala FA ke negeri Jelapang Padi ini berdasarkan kepada corak permainan yang ditunjukkannya dalam beberapa perlawanan sebelum ini. Kedah merupakan juara tiga kali Piala FA iaitu pada 1996, 2007 dan 2008.Ditanya sama ada cuti peristiwa akan diberikan kepada rakyat sekiranya Kedah menjuarai Piala FA, beliau berkata perkara itu belum difikirkannya lagi. "Apa yang pasti ialah kita akan membuat sambutan besar-besaran dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim sehingga Stadium Darul Aman seperti mana sambutan ketika Kedah menjuarai Piala Malaysia tahun lalu," katanya. Ahmad Bashah sebelum ini berkata setiap pemain Kedah akan diberikan ganjaran RM20,000 sekiranya berjaya membawa pulang Piala FA.