PETALING JAYA: Peluang kini terbuka kepada mereka yang ingin menjadi salah seorang ahli keluarga Persatuan Badminton Malaysia (BAM). Dalam satu iklan yang disiarkan di akhbar tempatan pada Isnin, BAM sedang mencari calon-calon yang layak untuk memegang peranan sebagai pengurus besar dan ketua di Akademi Badminton Malaysia (ABM). Bagi yang berminat dengan dua jawatan tersebut, mereka perlulah berumur 35 hingga 50 tahun, selain perlu menepati beberapa syarat dan kriteria lain yang ditetapkan. Jawatan pengurus besar BAM kosong selepas penyandang terdahulu, Lawrence Chew melepaskan jawatannya pada 5 Mei lalu. Lawrence mengambil keputusan itu selepas menerima tawaran lebih baik dari organisasi lain. Lawrence mempunyai pengalaman luas apabila pernah memegang jawatan Pengarah Persatuan Badminton Switzerland sebelum memulakan tugas bersama BAM pada 19 Januari 2016. Tarikh tutup pemohonan adalah pada 31 Mei 2017 dan resume perlu dihantar melalui e-mel [email protected].