MELAKA: Kelibat penyerang import Melaka United, Sergio Aguero menjadi tumpuan pada pertemuan Liga Super menentang Felda United pada malam ini sama ada dia akan terus kekal bersama juara Liga Perdana 2016 itu atau sebaliknya. Ini kerana masa depannya bersama skuad Kancil menjadi tanda tanya ekoran prestasi hambar yang ditunjukkan sejak menyertai Melaka United pada awal musim ini. Malah desas-desus mengatakan penyerang kelahiran Argentina berusia 23 tahun itu akan ditamatkan kontrak pada jendela perpindahan kali ini walaupun dia enggan mengalah masa depannya bersama Melaka United. Menurut sumber yang rapat dengan pengurusan Melaka United kepada mStar Online, masa depan Aguero masih dalam pertimbangan selepas pemain itu menerima dua surat amaran ekoran masalah kecederaan dan prestasi hambar. Difahamkan, Aguero akan diturunkan pada perlawanan menentang Felda United dan ia menjadi satu peluang yang besar buatnya memndapatkan kembali kepercayaan pihak pengurusan Melaka United dengan syarat mempamerkan kualiti permainan yang lebih baik. Sejak menyertai Melaka United pada awal musim ini, Aguero hanya beraksi dalam empat perlawanan dan gagal menjaringkan sebarang gol akibat dihimpit masalah kecederaan selain dikatakan gagal mempamerkan aksi terbaik buat pasukannya. Melaka United kini menduduki tangga ke 10 liga, hanya satu mata dipisahkan dengan Sarawak yang menduduki zon penyingkiran. Dalam 12 perlawanan terdahulu, Melaka United hanya mencatat dua kemenangan, empat seri dan kalah enam kali.