suria

Arsenal Julang Trofi 'Pengubat Duka'

Arsene Wenger menjulang Piala FA bersama pemain Arsenal setelah mereka menewaskan Chelsea 2-1 dalam final Piala FA.

ARSENAL mengukir sejarah dalam sejarah Piala FA apabila menang 2-1 ke atas Chelsea dalam aksi final yang berlangsung awal pagi Ahad.

Selepas melonjakkan Arsenal sebagai juara musim 2016/17, Arsene Wenger sekali gus menjadi pengurus kelab yang paling banyak mengumpul koleksi gelaran juara Piala FA.

Dengan kemenangan pada aksi final yang berlangsung di Wembley ini, Wenger telah membawa The Gunners meraih gelaran juara Piala FA sebanyak tujuh kali.

Ini juga merupakan gelaran ke-13 buat Arsenal, paling panyak pernah diraih kelab itu berbanding kelab lain.

Gelaran ini juga menjadi hadiah pengubat luka buat kelab ini yang mempamerkan aksi paling buruk musim ini apabila gagal mara ke Liga Juara-Juara buat pertama kali dalam tempoh 20 tahun dan hanya menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di tempat kelima.

Dalam perlawanan ini Arsenal unggul seawal minit keempat melalui gol Alexis Sanchez. Mereka kemudian nampak selesa bermain sementara Chelsea terus tercari-cari rentak permainan.

Malang bagi Chelsea apabila Victor Moses dilayangkan kad merah pada minit ke-68.

Sehinggalah minit ke-76 Chelsea akhirnya mendapat gol yang ditunggu-tuggu melalui Diego Costa.

Sayangnya, Arsenal tidak membiarkan kedudukan 1-1 bertahan lama.

Selang tiga minit kemudian, Olivier Giroud yang baru dimasukkan melakukan umpan yang disempurnakan oleh Aaron Ramsey, sekali gus menjadi penentu kemenangan Arsenal.

"Kami menunjukkan persembahan luar biasa sejak minit pertama. Tak ada yang memberi peluang kepada kami, tetapi pasukan ini bersatu untuk memberi tindak balas dengan menunjukkan sikap luar biasa," kata Wenger kepada BBC.

"Saya bangga apabila dapat memenangi tujuh gelaran dalam saingan ini. Pemain menunjukkan kekuatan mereka. Mereka bermain bola sepak yang menakjubkan hari ini," kata Wenger.

Menariknya, gelaran ini seolah-olah bakal memperkukuhkan semula kedudukannya sebagai pengurus Arsenal selepas perrlawanan ini dikatakan menjadi perlawanan terakhirnya bersama The Gunners.

Trofi terbaru ini menimbulkan tanda tanya tentang masa depannya sama ada dia akan kekal bersama kelab pada musim depan.

“Lembaga pengarah akan bermesyuarat pada Selasa, pada Rabu atau Khamis, situasi (soal masa depan saya) akan lebih jelas," katanya.

Difahamkan, adalah perkara biasa mesyuarat diadakan pada Selasa tetapi dalam mesyuarat akan datang nasib Wenger akan diputuskan.

Kontrak Wenger akan berakhir pada 30 Jun 2017. Setakat ini, belum ada tanda-tanda pembaharuan kontrak dari pihak pengurusan untuk dirinya. 

Arsenal, Piala FA, Arsene Wenger

Artikel Sebelum

Artikel Lain