PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) mengakui belum mampu melunaskan tunggakan gaji pemain bagi musim 2015 dan 2016 sekali pun telah memperoleh bayaran RM1.4 juta hasil perpindahan Mohammed Ghaddar ke Johor Darul Ta’zim (JDT), lapor Sinar Online. Setiausaha Agungnya, Datuk Ismail Md Noor berkata, pihaknya peka dengan pelbagai kritikan yang dilemparkan bekas pemain pasukan itu dalam laman sosial namun menegaskan mereka bukan sengaja melupakan masalah tersebut. “Itu tidak bermakna kita duduk diam. Kita sedang berusaha mencari duit untuk selesaikan tunggakan gaji pemain cuma buat masa sekarang memang kita tak ada duit. “Kita sentiasa komited untuk selesaikan, tiba masa kita akan bayar,” katanya kepada Sinar Harian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Jonathan McKain yang mempersoalkan tindakan Kelantan mendapatkan pemain import baharu. Selain McKain, bekas penyerang import dari Macedonia, Blazhe Ilijoski turut menempelak Kafa berhubung isu berkenaan dan menuntut tunggakan gajinya pada musim lalu dilangsaikan. Menurutnya, buat masa ini keutamaan mereka adalah menyelesaikan gaji semasa pemain yang tertangguh menerusi duit tebus kontrak Mohammed Ghaddar. “Kafa ada dua pilihan, pertama biarkan Kelantan jadi pasukan belasahan dan kedua, terus bersaing secara kompetitif menghabiskan baki saingan yang ada. Jadi, kena lihat keperluan semasa, maknanya kita perlu selesaikan perkara penting (bayar gaji semasa) ini dulu. “Mengenai tunggakan gaji, ada kaedah lain untuk bayar. Kalau nak asyik tumpu soal (tunggakan gaji) ini, saya rasa Kelantan kena tarik dirilah daripada Liga-M sebab pemain yang ada sekarang akan lari kerana kita tak mampu bayar gaji,” katanya.