KUALA LUMPUR: Hasrat wakil tunggal negara, Johor Darul Ta''zim (JDT) untuk meneruskan saingan pada Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) tidak kesampaian setelah tewas tipis 1-2 kepada wakil Filipina, Ceres-Negros FC pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Panaad, Bacolod City, Filipina, malam Rabu. Kedua-dua pasukan terikat 4-4 secara agregat, namun Ceres-Negros FC mara ke aksi final zon ASEAN menerusi peraturan gol di tempat lawan. Untuk rekod, JDT menang tipis 3-2 ke atas pasukan sama pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 17 Mei lepas. Ceres-Negros FC dijadual menentang Home United pada aksi final zon ASEAN yang menggunakan format timbal balik pada 1 dan 8 Ogos ini. Home United mara ke final zon ASEAN selepas mencatat kemenangan agregat 5-4 ke atas Global FC dari Filipina dalam satu lagi aksi separuh akhir, Selasa. Pada aksi di Filipina, pasukan tuan rumah terlebih dahulu mendahului perlawanan menerusi jaringan Kota Kawase pada minit ke-26 sebelum Gabriel Miguel Guerra menyamakan kedudukan untuk JDT pada minit ke-64 setelah memanfaatkan hantaran daripada rakan sepasukan. Tuah, bagaimanapun lebih memihak kepada Ceres-Negros FC yang dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil setelah pemain mereka, Fernando Rodriguez dikasari di dalam kotak penalti pada penghujung babak perlawanan. Rodriguez tenang menyempurnakan sepakan penalti berkenaan untuk membawa pasukan tuan rumah mara ke final zon ASEAN berdepan Home United. Nasib malang menimpa JDT setelah penjaga gol, Farizal Marlias dilayangkan kad merah, beberapa minit kemudian kerana terlibat dengan pergaduhan dengan pemain tuan rumah. AFC mengubah format Piala AFC bermula musim ini, dengan lapan pasukan terbaik iaitu empat pasukan zon ASEAN dan empat pasukan zon Asia Barat mara ke peringkat separuh akhir yang menggunakan format timbal balik. Pemenang perlawanan zon ASEAN akan mara ke final berdepan juara zon Asia Barat bagi menentukan pemenang Piala AFC 2017. - BERNAMA