SUKA atau tidak, kontrak Arsene Wenger telah disambung dua tahun lagi untuk terus bersama Arsenal walaupun ada penyokong mahu dia meninggalkan kelab itu. Apa yang pasti, Wenger perlu berbelanja besar untuk merombak semula pasukannya yang mempamerkan hambar sepanjang musim 2016/2017 kecuali beberapa pemain yang kekal konsisten termasuk Alexis Sanchez. Tetapi nama seperti Jack Wilshere, Kieran Gibbs dan Francis Coquelin antara sembilan pemain Arsenal yang mungkin dilelong pada jendela perpindahan ini bagi membuka ruang kepada Wenger membina skuad yang lebih kuat dengan dana sebanyak £120 juta. Wilshere, 25, miliki kontrak berbaki 12 bulan bersama Arsenal dan kelabnya masih belum menawarkan sebarang lanjutan. Walaupun Wenger mahu mengekalkan bintang England itu, tetapi Wilshere dijangka tidak mahu memainkan peranan kecil dalam Arsenal dan kini kelibatnya dipantau oleh West Ham. Yaya Sanogo, Mathieu Debuchy dan David Ospina juga dijangka meninggalan Arsenal manakala ejen Lucas Perez mengesahkan kliennya mahu meninggalkan kelab London itu selepas hanya semusim. Perpindahan Carl Jenskinson ke Crystal Palace tidak dapat direalisasikan pada Januari lalu tetapi dia akan meninggalkan pada perpindahan kali ini manakala Wojciech Szczesny dilihat mahu terus kekal bersama AS Roma walaupun setakat ini bergelar status pemain pinjaman.