SOUTHAMPTON telah meminta Liga Perdana supaya menyiasat dakwaan bahawa Liverpool cuba mendekati pemainnya, Virgil van Dijk menggunakan pintu belakang. Pasukan itu masih belum dihubungi Liverpool yang dikatakan berminat untuk mendapatkan Van Dijk. Pada masa sama, pemain berusia 25 tahun itu turut menyuarakan hasrat mahu berhijrah ke Anfield dengan kontrak bernilai 60 juta pound sterling. Malah, Pengurus Liverpool Jurgen Klopp turut menjadikan Van Dijk sebagai sasaran utamanya pada musim panas ini. Namun niat Klopp itu menimbulkan rasa kurang senang Southampton yang menyifatkan ia sebagai satu tindakan untuk mengganggu pemain mereka. Southampton turut dikatakan bersedia untuk menolak tawaran rasmi daripada Liverpool terhadap pemain pertahanan itu. Liverpool dilaporkan bersedia mengemukakan tawaran yang mencatatkan perpindahan rekod dunia terhadap Van Dijk tetapi rundingan antara kedua-dua kelab masih belum diadakan secara rasmi. Difahamkan, Southampton tetap dengan pendirian bahawa Van Dijk merupakan aset pasukan itu dan bukan untuk dijual. Pada bulan lalu, Pengerusi Southampton Ralph Krueger berkata kelab itu akan menolak tawaran lumayan sebanyak 60 juta pound sterling terhadap Van Dijk. "Bolehkah kita? Ya. Kita tidak mahu menjual sebarang pemain buat pertama kalinya sejak saya berada di sini," katanya.