KELAB gergasi Jerman, Bayern Munich menunjukkan kesungguhan untuk mendapatkan bintang Arsenal, Alexis Sanchez pada jendela perpindahan kali ini. Ini kerana Bayern dilapor sanggup menjadikan pemain kelahiran Chile itu sebagai pemain paling mahal menerima gaji di Allianz Arena dengan tawaran sebanyak 350,000 pound sterling seminggu. Tawaran lumayan itu sekali gus menghampakan Manchester City yang berhasrat mendapatkan khidmat Sanchez dan memadamkan harapan Arsenal mengekalkan perancang utama mereka itu. Buat masa ini, penyerang kelahiran Poland, Robert Lewandowski merupakan pemain paling mahal menerima gaji di Bayern dengan bayaran sebanyak 300,000 pound sterling seminggu. Bagi memastikan Sanchez dibawa ke Jerman, Bayern sedia membayar sebanyak 40 juta pound sterling kepada Arsenal memandangkan penyerang Chile itu memiliki kontrak berbaki setahun di Emirates. Ejen Sanchez, Fernando Felicevich sudah mengadakan perbincangan dengan Bayern dan mereka yakin perjanjian antara kedua-dua pihak akan dicapai. - Mirror