suria

Kepulangan Misbun Agak Lewat - Elyas

PETALING JAYA: Kehadiran semula Datuk Misbun Sidek sebagai ketua jurulatih perseorangan lelaki sudah tentu akan kembali mewarnai arena badminton negara.

Rata-rata peminat sukan itu mengalu-alukan kepulangan Misbun termasuklah bekas Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Elyas Omar.

"Saya suka dia balik ke BAM. Wajarlah," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.

Namun, Elyas menyifatkan kepulangan Misbun ke BAM sudah agak terlewat.

"Ia bukan langkah tepat tapi lewat dilakukan. Sepatutnya BAM ambil beliau dari awal lagi, bukan di saat kita terdesak untuk melahirkan pelapis baharu," katanya.

Meskipun begitu, Elyas tetap yakin dengan keupayaan Misbun kerana beliau seorang jurulatih yang baik dan berdedikasi.

"Ketika saya jadi Presiden BAM, Misbun bermain untuk negara. Malah beliau juga berjaya melahirkan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.

"Jadi tak mustahil beliau boleh melakukan sesuatu untuk memulihkan prestasi skuad badmonton yang agak terumbang-ambing ketika ini," katanya.

Menurut Elyas, tanggungjawab untuk melahirkan lebih ramai Chong Wei tidak sepatutnya diletakkan di bahu Misbun semata-mata.

Sebaliknya, beliau berkata semua persatuan badminton negeri juga perlu berganding bahu dengan BAM untuk mengeluarkan pemain berbakat demi masa depan negara.

"Tanggungjawab bukan untuk Misbun seorang. Semua persatuan negeri mesti mengilap bakat bersama BAM," katanya.

Misbun dijangka melapor diri slepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata di bawah strategi prestasi badan induk itu bagi 2017 hingga 2020, Misbun akan membimbing kesemua pemain perseorangan lelaki termasuk Chong Wei.

Katanya, berdasarkan cadangan strategi prestasi BAM oleh Pengarah Teknikal, Morten Frost Hansen, sasaran badan induk itu adalah muncul juara Piala Thomas 2018.

Misbun akan dibantu Hendrawan, Indra Wijaya dan Sairol Amar Ayob.

BAM, Misbun Sidek

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain