suria

England Juara Piala Dunia B20

Kemenangan berpihak kepada England selepas Woodman berjaya menyelamatkan penalti pada aksi perlawanan akhir Piala Dunia U20, malam Ahad. - Eurosport

JARINGAN tunggal Dominic Calvert-Lewin sudah cukup buat skuad England untuk merangkul gelaran juara Piala Dunia Bawah 20 (B20) ketika menewaskan Venezuela pada aksi akhir dengan keputusan 1-0.

Pujian juga harus dihamburkan kepada kecemerlangan penjaga gol skuad Three Lions, Freddie Woodman yang berjaya menyelamatkan sepakan penalti

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Piala Dunia Suwon, Korea Selatan, England bermula garang dengan beberapa percubaan berbahaya penyerangnya, Dominic Solanke dan Ademola Lookman tetapi kecemerlangan penjaga gol Venezuela, Wuilker Farinez menghampakan anak buah Paul Simpson.

Malah Venezuela hampir mendahului perlawanan menerusi percubaan sepakan percuma Ronaldo Lucena yang terkena palang.

Tersentak dengan percubaan itu, England kembali melancarkan serangan dan kali ini, Calvert-Lewin tidak mensia-siakan peluang apabila menyempurnakan hantaran Lewis Cook walaupun Farinez berjaya menepis percubaan pertama Calvert-Lewin.

Jaringan pada minit ke -35 itu sudah memadai buat England bertahan sehingga separuh masa pertama dengan kelebihan satu gol.

Aksi separuh masa kedua menyaksikan England lebih banyak bertahan dan skuad Venezuela mengasak dengan serangan yang lebih berbahaya.

Akhirnya, Venezuela dihadiahkan sepakan penalti selepas penyerang utamanya, Adalberto Penaranda dijatuhkan dalam kotak penalti ekoran dikasari oleh pertahanan England.

Bagaimanapun, Penaranda mensia-siakan peluang untuk menyamakan kedudukan apabila sepakannya ditepis oleh Woodman menggunakan kaki.

Walaupun pasukan Amerika Selatan cuba mengatur serangan yang lebih berbahaya dan memukau penonton sehingga ke penghujung perlawanan, namun England berjaya bertahan untuk memastikan gelaran juara dunia pertama negara itu sejak tahun 1966 menjadi milik mereka. - Eurosport

Freddie Woodman, Piala Dunia U20

Artikel Berikut

Artikel Lain