suria

Malaysia Bakal Miliki Kompleks Olahraga Tertutup Pertama Di Asia Tenggara

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin pada Sesi Dialog TN 50 bersama Warga Sukan di Dewan Gimnasium 2, Majlis Sukan Negara (MSN), Selasa. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan membina sebuah kompleks olahraga tertutup bertaraf antarabangsa pertama di Asia Tenggara sebagai langkah menggandakan usaha membangunkan sukan olahraga di negara ini.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata idea tersebut merupakan aspirasi terhadap kejayaan tiga atlet paralimpik olahraga iaitu Muhammad Ziyad Zolkefli, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dan Abdul Latif Romly yang telah mengharumkan nama negara di temasya Sukan Paralimpik Rio 2016.

Khairy berkata kompleks tertutup tersebut bakal dibangunkan di atas tapak balapan dan padang bola sepak Kompleks Sukan Kampung Pandan yang meliputi kawasan seluas kira-kira satu ekar.

"Ia kini dalam peringkat terakhir untuk kita memuktamadkan skop pembangunan kompleks sukan tersebut. Pembangunan ini akan dibuat di atas tapak yang mempunyai balapan dan padang seluas 1 ekar lebih.

"Kompleks tersebut akan dilengkapi dengan trek larian, padang sintetik, gelanggang serbaguna dan juga beberapa kemudahan sukan lain," katanya pada sidang media selepas menghadiri sesi dialog Transformasi Nasional 50 (TN50) bersama warga sukan di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil di sini, Selasa.

Bagaimanapun Khairy berkata projek pembangunan tersebut masih dalam proses menanti kertas kerja daripada mana-mana pihak yang berminat. -Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain