PEMAIN pertahanan Sweden Victor Lindelof tiba di pusat latihan Carrington, Manchester United ketika urusan perpindahannya ke Old Trafford hampir selesai. Sportsmail pada Selasa melaporkan bahawa pemain pertahanan Benfica itu telah ditetapkan untuk menjalani pemeriksaan perubatan, dalam perpindahan dipercayai bernilai £30.7 juta, selepas United mengumumkan perjanjian telah dipersetujui pada malam Sabtu. Lindelof tiba di Carrington pada pagi Rabu selepas menjadi pemain simpanan ketika Sweden seri 1-1 dengan Norway di Oslo pada malam Selasa. Dia memandu masuk ke dalam kompleks menaiki kereta Chevrolet berwarna merah, logo yang terdapat pada jersi United. Dia dijangka bertemu staf dan menjalani pemeriksaan kesihatan dan, bergantung kepada berapa lama masa diambil, akan diumumkan sebagai pemain United, pada Rabu atau Khamis. Pengurus Jose Mourinho telah menjejaki pemain berusia 22 tahun ini sejak musim lalu dan United telah berusaha untuk memeterai perjanjian pada bulan Januari bagi melengkapkan perpindahannya pada musim panas ini. Dia dijangka menjadi pembelian pertama Mourinho pada musim panas ini kerana pengurus United itu kelihatan mahu mengukuhkan skuad yang hanya mampu menduduki tempat keenam dalam Liga Perdana Inggeris musim 2016/17. Bagaimanapun, mereka berjaya ke Liga Juara-Juara kerana menang perlawanan akhir Liga Europa ke atas Ajax di Stockholm. Ketika mengumumkan mereka telah mencapai persetujuan dengan Benfica pada malam Sabtu, Red Devils mengeluarkan kenyataan ringkas: "Manchester United dengan sukacitanya mengumumkan telah mencapai persetujuan dengan Benfica untuk pemindahan Victor Lindelof, tertakluk kepada pemeriksaan perubatan, pelepasan antarabangsa dan terma peribadi. "Pengumuman lanjut akan dibuat sebaik sahaja pemindahan selesai." Pemain muda itu akan bersama dengan teman wanitanya, juga seorang model, Maja Nilsson, yang tingal bersamanya di Lisbon. Dia dikatakan seorang pemain profesional yang berdedikasi dan menjadi orang pertama tiba di latihan dan yang terakhir untuk meninggalkan padang, selain menikmati kehidupan yang tenang di luar padang.