SEPATUTNYA bekas ketua pasukan Gambia ini sudah berada di Pulau Pinang, namun Abdou Jammeh tidak dijodohkan untuk bersama skuad Harimau Kumbang. Bukan niat di hati tidak mahu bersama Pulau Pinang cuma sebagai seorang pemain profesional, dia terpaksa akur keputusan ejen yang melihat PKNS sebagai pilihan terbaik buat kariernya. Menyusuri kembali perjalanan Jammeh sebelum ke PKNS, dia sememangnya sudah terlebih dahulu jalani pemilihan bersama The Red Ants sebelum ke Pulau Pinang pada 5 Jun. Selepas beberapa hari jalani pemilihan, dia sebenarnya sudah berjaya memikat hati pengendali, Zainal Abidin Hassan untuk disenaraikan pengganti Reinaldo Lobo dan hanya menunggu detik untuk tandatangani kontrak. Namun, pada hari sepatutnya dia meterai perjanjian bersama Pulau Pinang, Jammeh membuat u-turn di saat akhir apabila menghilangkan diri tanpa memberitahu Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) untuk menuju ke PKNS. Akhirnya, sehari sahaja lagi pintu perpindahan pemain ditutup, pertahanan kental berusia 31 tahun ini secara rasmi menjadi pemain terakhir lengkapkan slot import PKNS. Menurut Jammeh, dia tidak mahu ambil pusing lagi terhadap apa yang berlaku memandangkan hatinya kini sudah bersama PKNS dan ingin melupakan Pulau Pinang. "Pada masa itu, saya serahkan segala-galanya kepada ejen buat keputusan sama ada memilih PKNS atau Pulau Pinang kerana kedua-dua pasukan begitu serius mahukan khidmat saya. "Walaupun saya berada dalam situasi hampir pasti dengan Pulau Pinang pada satu ketika, ejen saya fikirkan PKNS sebagai pilihan terbaik pada waktu itu dan saya juga tidak mahu huraikan apa sebab saya tolak Pulau Pinang. "Sebagai pemain profesional, saya perlu ikut apa dirasakan oleh ejen kerana dia sudah buat perbandingan terbaik untuk situasi saya. "Kini saya gembira dengan PKNS dan hanya fokus bersama pasukan baharu saya sekarang," katanya. Jammeh menjadi pengganti Gonzalo Soto yang terpaksa berehat selama dua bulan ekoran kecederaan lutut dan kini dirawat di Argentina. Pengalaman Jammeh nyata begitu luas termasuk pernah beraksi di Rusia, Finland,Kuwait, Belgium dan Tunisia, maka tidak hairanlah dia menjadi buruan banyak pasukan sebelum PKNS tampil sebagai skuad bertuah apabila mendapatkan khidmatnya.