suria

Razie Hidupkan Peluang Piala Dunia 2018

RAZIE Rahim (kanan) dicabar pemain Great Britain, Henry Weir ketika aksi Piala Hoki Sultan Azlan Shah di Ipoh pada 2 Mei 2017. - SAIFUL BAHRI/The Star

KUALA LUMPUR: Jaringan tunggal Muhammad Razie Abdul Rahim berjaya menghidupkan peluang Malaysia ke Piala Dunia 2018 apabila mengalahkan Korea Selatan 1-0 dalam saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia (WHL) di London, awal Selasa.

Pada perlawanan ketiga Kumpulan A, skuad bimbingan Stephen Van Huizen itu mempamerkan aksi yang lebih fokus dan disiplin yang tinggi untuk menjayakan misi wajib menang menentang Korea Selatan.

Pada perlawanan yang mana kedua-dua pasukan perlu menang itu, Korea Selatan terlebih dulu mengasak kubu Malaysia dan hampir memperoleh jaringan pada minit pertama perlawanan namun berjaya ditangkis penjaga gol kebangsaan S. Kumar.

Dalam aksi yang mendebarkan itu, Muhammad Razie memastikan kemenangan milik skuad ''Malaysian Tigers'' menerusi percubaan pukulan sudut penalti pada minit ke-35, sekali gus mencerahkan peluang skuad negara ke suku akhir.

Malaysia hanya perlu seri dalam aksi terakhir bertemu China, esok, untuk melangkah ke peringkat suku akhir.

Tersentak dengan jaringan Malaysia, pasukan Korea Selatan kembali mengatur serangan bertali arus hingga dihadiahkan dua pukulan sudut penalti pada minit terakhir perlawanan namun kecekapan Kumar berjaya menidakkan percubaan lawan.

Dengan kemenangan ini, Malaysia kini menduduki tangga ketiga manakala China pula di tangga keempat berdasarkan perbezaan jaringan. Argentina terus unggul di tangga teratas kumpulan A diikuti England.

Malaysia tewas kepada Argentina 5-2 pada perlawanan pembukaan sebelum dibelasah 7-3 oleh England manakala China sebelum ini menang ke atas Korea Selatan 5-2 dan tewas kepada gergasi hoki dunia, Argentina, 10-0. - BERNAMA

Hoki, WHL

Artikel Lain