SOUTHAMPTON menamakan bekas pemain Liverpool sebagai pengurus baharu kelab itu. Mauricio Pellegrino pernah beraksi bersama The Reds pada 2005. Pengurus berusia 45 tahun itu turut pernah mengendali Valencia, Estudiantes, Independiente dan terbaru, Alaves. Pellegrino menandatangani kontrak selama tiga tahun di St Mary dan akan menyertai kelab pada minggu depan menjelang latihan pra musim. "Saya amat gembira dilantik sebagai pengurus baharu pasukan Southampton. "Kelab ini mempunyai reputasi yang baik kerana memiliki struktur pentadbiran yang kukuh dan stabil selain beraksi di pentas Liga Perdana Inggeris serta mempamerkan corak permainan menarik," katanya. Southampton memecat pengurus Claude Puel pada awal bulan ini. Pengurus dari Perancis itu menyertai The Saints pada musim panas 2016 tetapi gagal memberikan impak berbisa kepada pasukan. Berita pemecatan Puel sudah dijangka selepas Southampton jatuh dari tangga keenam ke kedudukan kelapan. Walaupun Southampton berjaya melangkah ke pentas final Piala Liga pencapaian itu masih belum cukup untuk menyelamatkan kedudukan Puel.