PETALING JAYA: Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman dan Sin Li Jane mencipta sejarah apabila buat julung kalinya mengharumkan nama Malaysia dengan memenangi kejohanan Jelajah Persatuan Boling Wanita Profesional (PWBA). Siti merangkul kejayaan pertamanya dengan menundukkan Li Jane 224-170 di final Terbuka Wichita pada Ahad. Li Jane bagaimanapun bangkit pada final Terbuka Lincoln. Dia menewaskan Thashaina Seraus dari Aruba 222-186 untuk merangkul gelaran pertama Jelajah PWBA selepas percubaan sebanyak tiga kali. Li Jane juga merupakan naib juara Terbuka Detroit tahun lalu. Siti mencuri tumpuan pada awal pagi Isnin tetapi hanya menamatkan saingan di tempat keempat selepas tewas 212-227 di tangan, Liz Johnson. Aksi akhir stepladder kejohanan itu diadakan pada Ahad diikuti Terbuka Wichita, Terbuka Lincoln dan Terbuka Detroit. Li Jane membawa pulang wang tunai bernilai AS$15,000 (RM64,300) iaitu AS$10,000 (RM42,894) selaku juara Terbuka Lincoln dan AS$5,000 (RM21,447) naib juara Terbuka Wichita. Sementara itu, Siti pula menerima hadiah wang tunai keseluruhan bernilai AS$13,000 (RM55,800).