suria

Futsal: Dua Aksi Persahabatan Sebelum Sukan SEA

Skuad futsal kebangsaan tiba di KLIA pada Selasa. Foto: Bernama

SEPANG: Selepas beraksi cemerlang pada Kejohanan Futsal Antarabangsa Persatuan Bola Sepak China (CFA) 2017 di Hunan, China, skuad futsal negara bakal menghadapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa dalam persediaan mereka menghadapi temasya Sukan SEA ke-29 pada 19 hingga 30 Ogos ini.

"Kami mempunyai dua perlawanan persahabatan antarabangsa ‘A’ di Kuala Lumpur tetapi pasukan belum lagi dapat mengesahkannya.

"Perlawanan persahabatan itu mungkin akan diadakan pada Julai atau Ogos ini," kata ketua jurulatih skuad futsal kebangsaan, Chiew Chun Yong kepada Bernama, sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, awal pagi Selasa.

Pada Kejohanan Futsal Antarabangsa CFA, yang melibatkan hanya empat pasukan dengan format permainan liga sepusingan (round robbin), Malaysia menamatkan saingan di tempat ketiga.

"Kejohanan Futsal Antarabangsa CFA adalah satu kejohanan yang cukup bagus khususnya dalam menguji strategi dan taktikal skuad kebangsaan," kata Chun Yong dan menambah ia adalah penyertaan pertama Malaysia dalam kejohanan berkenaan.

Malaysia, yang menduduki ranking ke-69 dunia, membuka langkah kanan apabila seri 3-3 ketika menentang pasukan ranking ke-20 dunia, Republik Czech dalam perlawanan pertama pada 23 Jun lepas dan diikuti kemenangan ke atas pasukan tuan rumah, China (ranking 49), dengan 5-4 pada 24 Jun.

Dalam perlawanan terakhir pada hari berikutnya, Malaysia tunduk 0-5 kepada England (ranking 64).

"Ia merupakan keputusan yang baik untuk seri dengan Republik Czech, yang berada dalam pasukan ranking teratas dalam kejohanan ini. Jika kita tidak terlepas peluang keemasan pada minit terakhir, kita mungkin memberi kejutan dengan mengalahkan mereka.

“Sama juga seperti perlawanan menentang pasukan China, pemain kami juga bermain dan mengambil peluang dengan baik. Malangnya pada perlawanan menentang Englang...dari aspek fizikal pasukan kami agak kurang begitu juga dari segi kecergasan,” kata Chun Yong.

Menurut Chun Yong, kekurangan dari segi fizikal dan kecergasan adalah antara aspek yang akan diberi tumpuan dalam persediaan menghadapi Sukan SEA nanti.

​​​​​​​"Itulah kebimbangan utama saya, para pemain perlu memberi tumpuan sebelum Sukan SEA. Berdasarkan kepada pemantauan saya, pemain berjaya mengadaptasi aspek taktikal permainan yang baharu," katanya.

Empat belas pemain yang beraksi pada Kejohanan Futsal Antarabangsa CFA itu bukanlah senarai muktamad untuk menggalas cabaran dalam temasya dwitahunan itu nanti.

Dalam pada itu, Chun Yong berkata empat lagi pemain akan menyertai kem latihan skuad futsal kebangsaan yang bermula Isnin ini. -Bernama

Futsal Malaysia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain