LIONEL Messi dan kekasihnya sejak zaman kanak-kanak telah berkahwin dalam satu majlis di bandar kelahirannya, Rosario, Argentina, dengan kehadiran selebriti dan beberapa nama besar dalam bola sepak. Kira-kira 250 tetamu menghadiri perkahwinan Messi dan Antonella Roccuzzo di sebuah hotel mewah. Antara yang hadir termasuklah rakan sepasukan Messi di Barcelona, Neymar, Luis Suarez dan Gerard Pique yang ditemani isterinya, bintang pop Colombia, Shakira. Bekas rakan sepasukan Messi seperti Carles Puyol dan Cesc Fabregas turut hadir. Seluruh rakyat Argentina sangat gembira dengan perkahwinan di Rosario ini, yang merupakan hab pertanian dan bandar ketiga terbesar di negara tersebut, kira-kira 300 kilometer di utara-barat Buenos Aires. Kira-kira 150 wartawan dibenarkan membuat liputan majlis ini yang disebut akhbar paling terkenal di Argentina, Clarin, sebagai 'wedding of the year' dan 'wedding of the century' tetapi mereka tidak mempunyai akses terus untuk ke majlis atau parti itu selepas itu. Orang ramai berkumpul berhampiran lokasi perkahwinan yang dikawal ketat dengan harapan dapat merakamkan foto pasangan pengantin dan bintang-bintang bola sepak dunia. "Kami fikir Messi membuat keputusan tepat dengan mengahwini Rosario," kata Julio Sosa, yang bekerja sebagai tukang cuci tingkap. Messi, 30 tahun, dibesarkan di kawasan kejiranan kelas menengah rendah di Rosario bersama tiga adik-beradik yang lain. Pasangannya, 29, adalah sepupu kepada sahabat Messi dan mereka telah berkawan rapat sejak berkenalan pada usia muda. Messi dan Roccuzzo tetap berhubung selepas dia berhijrah ke Sepanyol pada usia 13 tahun dan akhirnya mereka memulakan hubungan romantis pada akhir tahun 2000. Roccuzzo berpindah ke Barcelona, di mana pasangan itu hidup bersama dua anak lelaki mereka, Thiago, 4, dan Mateo, 1. Mereka sering kembali ke Rosario. "Messi boleh mengadakan majlis perkahwinan di mana sahaja dia suka di Dubai...bulan. Dia mampu membayar tiket pesawat kepada sesiapa sahaja tetapi dia memilih bandar yang dekat di hatinya," kata Leandro Macaya. Messi, pemain terbaik Fifa sebanyak lima kali, telah berdepan kritikan di Argentina kerana dia tidak pernah membawa gelaran utama buat negara, berbeza dengan kejayaan demi kejayaan apabila bermain untuk Barcelona. Tetapi dia dipuji baik di tempat sendiri dan di luar negara kerana sikapnya yang tidak pernah berubah. "Dia selalu sama dan dia tidak pernah berubah," kata Diego Vallejos, rakan zaman kanak-kanak Messi yang dijemput untuk perkahwinan itu. "Walaupun memiliki segalanya, dia masih seorang lelaki yang sederhana, lelaki yang kurus yang membesar bersama saya. "Sukar untuk menerangkan perasaan itu, saya seorang rakan dan peminatnya."