BRISBANE: Petinju Australia, Jeff Horn mengejutkan juara dunia, Manny Pacquiao untuk meraih gelaran Organisasi Tinju Dunia (WBO) dalam kategori welterweight dalam pertarungan yang disaksikan 50,000 peminat pada Ahad. Bekas guru berusia 29 tahun itu menampilkan gaya agresif yang jelas sukar buat Pacquiao. Tanpa diberikan sebarang harapan oleh kebanyakan pemerhati, Horn menang dengan keputusan sebulat suara apabila ketiga-tiga juri memberikan markah 117-111, 115-113 dan 115-113 selepas 12 pusingan. "Sungguh gembira, saya tidak dapat gambarkan perasaan ketika ini. "Sejak usia muda lagi saya membayangkan saat ini," katanya. Pacquiao, 38 adalah pemegang lapan gelaran dunia dan dianggap salah seorang peninju terbaik dalam generasinya. Penyokongnya menjangkakan dia akan memperoleh perlawanan yang "singkat dan indah" ke atas Horn yang juga peninju Olimpik Australia 2012. Begitupun, Horn tidak menampilkan sebarang petanda dia tertekan dengan situasi berkenaan dan memberikan persaingan hebat buat peninju dari Filipina itu sebelum menang. - AFP