GAYA tarian 'dab' yang dipopularkan pemain termahal dunia, Paul Pogba tidak lagi akan digunakan pada musim baharu. Ini kerana pemain tengah Manchester united itu mengakui gaya sambutan gol itu sudah 'tamat tempoh' dan akan digantikan. Gaya sambutan gol Pogba yang baharu telah dirancangan untuk digunakan pada musim 2017/2018 dan diilhamkan oleh rakannya sewaktu kecil. Tarian Billy dipersembahkan oleh Pogba ketika dia meraikan kemenangan United pada perlawanan akhir Piala Europa dan dijangka menjadi ikutan baharu peminat bola. Pogba mula mempersembahkan gaya 'dab' ketika bermain untuk Juventus dan membawa gaya berkenaan di United awal musim lalu. Ditanya tentang gaya 'dab' itu, Pogba berkata, tarian berkenaan bermula di Amerika oleh kumpulan muzik, Migos. "Saya menyukai muzik dan tarian tersebut. "Namun 'dab' sudah berakhir dan kini masanya untuk tarian Billy," katanya. Mengulas tentang tarian Billy, Pogba berkata, tarian itu dicipta oleh rakannya, Billax. "Dia umpama saudara saya dan kini merupakan jurulatih bola sepak. "Saya mahu pastikan tarian itu menjadi ikutan dan dimasukkan ke dalam FIFA 2018," katanya. - MIRROR