KOTA BHARU: Tan Sri Annuar Musa mendakwa tindakan Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah menghancurkan daya saing pasukan The Red Warriors (TRW). Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) itu berkata Kelantan kini berdepan diturunkan ke Liga Perdana akibat sekatan-sekatan yang dikenakan oleh kedua-dua badan tersebut. "FMLLP (dan) FAM sudah boleh bergembira meraikan kejayaan mereka menghancurkan daya saing TRW kini TRW sedang menuju (ke) Liga Perdana dan pelaburan penaja habis ke laut,” katanya menerusi catatan dalam laman sosial Facebooknya, Ahad. Sebelum ini, Kafa berdepan beberapa isu dengan FMLLP antaranya dipotong tiga mata dalam saingan Liga Super selepas persatuan itu gagal melunaskan tunggakan gaji pemain pasukan tersebut musim lalu. Selain itu, Kafa turut dikenakan sekatan membawa masuk penyerang import dari Perancis, Seydi L Imam bagi menggantikan pemain import, Alessandro Podovani Celin. Rayuan yang dikemukakan Kafa bagi mendapatkan khidmat pemain tersebut turut ditolak FMLLP. Kelantan kini berada di tangga ketujuh saingan Liga Super dengan 17 mata selepas 14 perlawanan hasil daripada enam kemenangan, dua seri dan enam kekalahan. Dalam aksi Piala FA pula pasukan kendalian Zahasmi Ismail itu hanya sekadar layak beraksi di peringkat pusingan kedua selepas tewas kepada pasukan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC). Dalam saingan Piala Malaysia yang membuka tirainya Selasa lalu, Kelantan di tangga ketiga Kumpulan C apabila mencatatkan satu kemenangan dan satu kekalahan selepas dua perlawanan.-- Bernama