BINTANG Monaco yang menjadi sasaran Chelsea dan Manchester United mencetuskan persoalan tentang masa depannya apabila memuatnaik gambar misteri menerusi laman Instagram miliknya. Menerusi foto itu, Tiemoue Bakayoko berdiri di sebelah sebuah jet peribadi, sekali gus mencetuskan persoalan lokasi yang akan dituju sama ada ke Asia atau Amerika Syarikat (AS). Ini kerana Manchester United sedang menjalani latihan pramusim di AS manakala Chelsea akan mengadakan siri jelajah di benua Asia. "Mari pergi...semoga menjalani minggu yang baik," tulis Bakayoko menerusi kapsyen gambar itu. Laporan Mirror.uk menyebut, Bakayoko semakin hampir menyertai skuad The Blues dengan yuran perpindahan hampir 35 juta pound sterling. Malah dikhabarkan, pemain berusia 22 tahun itu sudah mendarat di London dan menjalani ujian perubatan serta menandatangani kontrak. Bagaimanapun, beberapa laporan media sukan melaporkan, United turut membuat bidaan dan jumlah tawaran yang dikemukakan oleh Red Devils dipersetujui Monaco.