suria

Akhirnya David Usop Undur Diri

PETALING JAYA: Ketua Jurulatih Sarawak, David Usop membuat keputusan untuk mengundur diri selepas dua bulan menggantikan kerusi panas yang ditinggalkan Datuk K. Rajagobal, Mei lalu.

David dalam satu rakaman yang dimuatnaik dalam Facebook Official Sarawak FA mengumumkan berita sedih itu selepas gagal membantu Sarawak keluar daripada kedudukan tercorot Liga Super.

"Saya buat keputusan untuk merehatkan diri daripada pasukan. Sejak kebelakangan ini kita berada di kedudukan tiga tercorot. Jadi ia tidak bagus untuk pasukan," katanya.

Jelas David, keputusan itu dilakukan bukan kerana desakan mana-mana pihak tetapi atas dasar profesional sebagai ketua jurulatih pasukan.

"Ini tiada desakan daripada mana-mana pihak tapi sebagai ketua jurulatih profesional saya kena bertanggungjawab," katanya.

Menurut David, tugas beliau akan diambil alih penolongnya, Pengiran Bala buat sementara waktu.

"Penolong saya, Pengiran Bala akan mengambil alih pasukan buat sementara waktu. Saya percaya dengan beliau," katanya.

Pada aksi Liga Super malam Selasa, Sarawak tewas 1-3 di tangan Felda United.

Ekoran kekalahan itu, Sarawak berada di tangga ke-10 dengan mengutip 14 mata daripada 15 perlawanan setakat ini.

Bagi kempen Piala Malaysia pula, Sarawak terus mempamerkan prestasi hambar apabila tewas dua kali berturut-turut dalam Kumpulan D yang dilabel sebagai kumpulan maut yang dibarisi Johor Darul Ta'zim (JDT), Selangor dan Terengganu.

David Usop, Sarawak

Artikel Lain