KUALA LUMPUR: Penerjun meningkat naik negara, Nur Dhabitah Sabri berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir acara terjun 3 meter (m) papan anjal individu wanita pada Kejohanan Akuatik Dunia di Budapest, Hungary, pada Khamis. Dalam saingan separuh akhir di Duna Arena yang melibatkan 18 peserta itu, Nur Dhabitah menempah tiket ke peringkat akhir selepas berada di kedudukan keenam daripada 18 peserta dengan mengumpul 321.70 mata. Seorang lagi peserta Malaysia, Ng Yan Yee terlepas peluang beraksi di peringkat akhir dengan hanya 4.35 mata di belakang peserta Afrika Selatan, Julia Vincent selepas mengutip 285.30 mata dan berada di kedudukan ke-13. Peringkat akhir acara 3m papan anjal individu wanita itu akan berlangsung pada Jumaat dan melibatkan seramai 12 peserta. Saingan peringkat separuh akhir itu diungguli peserta dari China, Shi Tingmao dan Wang Han selepas masing-masing mengumpul 380.45 dan 354.90 mata. Kedudukan mereka dicabar dua peserta Kanada, Pamela Ware (338.25 mata) dan Jennifer Abel (337.60 mata) yang berada di kedudukan ketiga dan keempat. - Bernama