PENGURUS Barcelona menafikan spekulasi mengenai Neymar. Ernesto Valverde menjawab spekulasi yang timbul mengenai Neymar yang dilaporkan akan berpindah ke Paris Saint-Germain (PSG). "Neymar bersama kami dan sudah tentu mahu dia kekal di sini. Selebihnya hanyalah khabar angin," jelas Valverde kepada pemberita pada sidang media di Red Bull Arena menjelang perlawanan pertama Barcelona dalam Piala Juara-Juara Antarabangsa. Varverde yang pernah beraksi untuk Barcelona pada tahun 1988 dan 1990 di bawah kendalian Johan Cruyff memberitahu bahawa tidak ada perbincangan mengenai pemain itu. "Ini adalah masa yang penuh dengan khabar angin. Kami hanya berbincang mengenai perkara lain, seperti taktik dan sebagainya. Dia adalah pemain yang kami sayang dan mahu. "Bukan sahaja mengenai bola sepak, tetapi perkara yang dia bawa ketika berada di bilik pemain."