DIEGO Costa tidak akan lagi beraksi untuk Chelsea, malah turut dilarang daripada menjalani latihan bersama skuad utama. Pengurus kelab juara Liga Perdana Inggeris, Antonio Conte mendedahkan keputusannya untuk menyingkir Costa telah dibuat sejak Januari lalu. Malah penyerang itu juga jelas menunjukkan mahu berpindah untuk menyertai kelab Liga Super China, Tianjin Quanjian. Biarpun berdepan dengan situasi penting untuk mempertahankan gelaran, jelas sekali Conte tidak akan berpatah balik mengenai keputusannya itu. "Apa yang Costa lakukan pada Januari lalu amat jelas. Bagi kelab, diri dia dan juga ejen serta diri saya sendiri, situasi itu sudah tertutup," jelasnya mengimbas kembali permintaan Costa yang mahu meninggalkan Chelsea sebanyak tiga kali sejak sepuluh bulan lalu. Costa dikatakan meluahkan perasaannya untuk meninggalkan Stamford Bridge ketika jelajah pra musim di Amerika Syarikat untuk kembali ke kelab lamanya Atletico Madrid. Lebih panas, Costa sengaja memuatnaik gambarnya di Instagram dengan memakai jersi Atletico Madrid. Berikutan situasi itu, Conte yang hanya baharu tiba di Chelsea ketika itu menerima padah apabila diketepikan dalam dua aksi persahabatan. Januari lalu, Costa meluahkan untuk berpindah ke Tianjin Quanjian dan penghujung musim lalu dia sekali lagi memberitahu untuk berpindah. Biarpun dia menamatkan musim lalu dengan 20 gol, Costa tetap mahu meninggalkan kelab.