SEPANG: Ganjaran ‘misteri' menanti skuad Bawah 22 Tahun (B-22) negara selepas melakar sejarah menjulang nama Malaysia layak buat kali pertama ke pusingan akhir Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 2018 yang akan berlangsung di China, pada Januari tahun depan. Perkara itu diumumkan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yang memaklumkan Presiden FAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan mengundang kesemua pemain menghadap baginda dalam masa terdekat. Hamidin sebelum itu turut mengumumkan setiap pemain dan pegawai pengiring yang terlibat dalam kejayaan bersejarah itu akan menerima imbuhan RM6,000 setiap seorang seperti yang diperuntukkan FAM sebelum ini. "Saya ingin mengucapkan tahniah kepada ketua jurulatih Datuk Ong Kim Swee dan semua individu yang terlibat dalam kejayaan bersejarah ini dan sudah tentu pengorbanan mereka ini akan diberi ganjaran sepatutnya. "Tunku presiden telah bertitah supaya membawa mereka (pemain) menghadap secepat mungkin dan sudah tentu ada khabar gembira daripada Tunku selepas ini," katanya pada sidang media sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Bangkok, Thailand. Malaysia menamatkan kempen kelayakan Kejohanan Piala AFC B-23 sebagai juara Kumpulan H selepas mengumpul enam mata diikuti Thailand dengan lima mata, manakala Indonesia dan Mongolia masing-masing mengutip empat dan satu mata selepas tiga perlawanan peringkat kumpulan. Pada kempen kelayakan itu, skuad negara berjaya mencatat dua kemenangan iaitu ke atas Indonesia 3-0 diikuti Mongolia 2-0 dan satu kekalahan 0-2 kepada pasukan tuan rumah. Sementara itu, Kim Swee yang menjadi watak utama dalam kejayaan tersebut menjangkakan tekanan lebih besar menanti skuad bimbingannya yang bakal bersaing pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) bulan depan. Justeru beliau menggesa anak buahnya untuk melupakan seketika kemanisan kejayaan itu dan memberikan sepenuh perhatian bagi mengecapi satu lagi kejayaan iaitu ibu segala pingat di KL2017. “Tekanan sudah menjadi kebiasaan dan saya jangkakan ia akan menjadi lebih besar selepas ini tetapi apa yang penting ialah para pemain harus menerima tekanan itu secara positif. “Saya inginkan para pemain meletakkan kejayaan ini di tepi dahulu kerana kita mempunyai satu tugas getir di mana kita ada Sukan SEA yang perlu kita fokus selepas ini,” katanya. - BERNAMA