CRISTIANO Ronaldo menamakan bintang Barcelona Lionel Messi dan Neymar sebagai dua pemain yang digeruninya ketika ini. Malah, kedua-dua pemain itu menjadi pemangkin semangat kepada Ronaldo untuk terus mempamerkan prestasi tahap tertinggi di pentas Eropah. Ronaldo berkata demikian dalam satu temubual semasa jelajah pra musim Real Madrid. Namun Ronaldo berkata terdapat juga ramai pemain hebat buat masa ini yang perlu diberi perhatian oleh dirinya. Antaranya, pemain Bayern Munich Robert Lewandowski dan Gonzalo Higuain dari Juventus. "Untuk menamakan seorang agak sukar tapi tahap permainan saya seperti dalam sukan lain. Formula Satu (F1), NBA... pemain hebat sentiasa mengikut pemain hebat yang lain. "Mereka mahu berada di atas kerana pemain hebat lain ada di sana. Anda tidak boleh berehat atau tertidur kerana pemain lain akan memintas anda. "Sudah tentu kami bersaing dengan sesiapa sahaja, dengan Neymar, Messi, Lewandowski, Higuain dan pemain hebat lain di dunia. Ia satu persaingan yang sihat. Kami bersaing untuk menjadi yang terbaik. "Ia jadi motivasi saya, untuk menjadi lebih baik dari mereka tahun demi tahun," kata Ronaldo. Ronaldo dan Messi mendominasi Anugerah Ballon d'Or sejak 2008 dengan kedua-dua masing-masing memenangi empat dan lima trofi berprestij itu.