suria

Skuad B-16 Negara Layak Ke Piala AFC 2018

Foto: NFDP

PETALING JAYA: Satu lagi berita gembira buat peminat bola sepak negara apabila Malaysia diumum sebagai tuan rumah bagi Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Bawah 16 (B-16) 2018.

Berita gembira itu menyusul selepas skuad kebangsaan Bawah 22 (B-22) layak ke aksi Piala Asia Bawah 23 (B-23) pada Januari depan sebaik sahaja pusingan kelayakan berakhir di Thailand Ahad lalu.

Skuad B-16 Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) yang dibimbing Pengarah Program, Lim Teong Kim layak secara automatik pada saingan yang akan berlangsung pada September 2018.

Menurut Pengarah Kanan PPBN, Safirul Azli Abu Bakar, pengesahan Malaysia sebagai tuan rumah merupakan sesuatu yang baik untuk peminat bola sepak tempatan.

"Ini kerana kita dapat menonton pasukan B-16 terbaik di Asia termasuk skuad muda kebangsaan kita.

"Dari segi kelebihan bermain di tempat sendiri, saya yakin Teong Kim akan bagi input yang lebih jelas," jelasnya kepada mStar Online pada Rabu.

Dalam pada itu juga, Safirul memberitahu skuad negara akan meneruskan misi pada saingan kelayakan September ini.

"Kita akan bermain seperti biasa dengan misi untuk menjuarai kumpulan nanti," ujarnya.

Skuad B-16 bakal berangkat ke Bekasi, Indonesia bermula 20 sehingga 24 September depan bagi saingan kelayakan dalam Kumpulan J besama Jepun, Singapura dan Guam.


PPBN

Artikel Sebelum

Nidzam Kurang Gembira

Artikel Berikut

Artikel Lain