MANCHESTER United nampaknya terlepas lagi untuk mendapatkan pemain tengah Bayern Munich, Renato Sanches. Pemain kelahiran Portugal itu sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford untuk bersama dengan pasukan di bawah pengurus Jose Mourinho. Sanches pernah digelar sebagai pemain harapan selepas prestasinya pada Euro 2016. Bagaimanapun pemain itu gagal menyerlah di bawah kendalian Carlo Ancelotti dan bebas untuk meninggalkan kelab berkenaan. Menurut L'Equipe, Sanches tidak akan ke Manchester, sebaliknya pemain berusia 19 tahun itu bakal menyertai kelab gergasi Itali, AC Milan. Beliau dikatakan akan menandatangani kontrak selama empat tahun di San Siro menerusi tawaran kira-kira £35 juta (RM196 juta). Baru-baru ini Sanches mengakui beliau mencari jalan keluar dari Bayern dan terbuka untuk menyertai Milan. "AC Milan adalah pilihan yang menarik. Jika peluang itu datang dan terdapat persetujuan antara kelab-kelab, saya mahu ke sana," katanya. Awal musim lalu, Mourinho pernah mengakui di hadapan wartawan bahawa dia terlambat untuk mendapatkan Sanches. "Saya tiba lambat (di Old Trafford), saya dan Sanches pernah berbincang sebelum ini," kata Mourinho. - Mail Online