suria

Pertembungan Hidup Mati

Pemain Melaka United mengeluarkan bola dari dirampas penyerang Kedah Sandro Da Silva pada perlawanan Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat, Sabtu lalu. fotoBERNAMA

PETALING JAYA: Melaka United menganggap pertembungan menentang Kelantan pada aksi peringkat Kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam Rabu ibarat misi hidup dan mati.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (Musa), Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata pertembungan di gelanggang lawan itu amat penting kerana ia bakal menentukan nasib pasukan tersebut di pentas Piala Malaysia selepas ini.

"Perlawanan itu amat penting untuk Melaka United kerana apa jua kesilapan atau kekalahan akan menyebabkan kita terpaksa melupakan Piala Malaysia.

"Jadi pemain kena berwaspada dan fokus untuk memastikan tiga mata penting menjadi milik Melaka United bagi membolehkan kira meneruskan kemaraan," katanya kepada mStar Online.

Pada masa sama, Mohd Yusoff turut menasihati skuad Sang Kancil supaya tidak mengambil mudah kekalahan demi kekalahan yang dicatatkan Kelantan sejak kebelakangan ini.

Malah, beliau yakin pertembungan malam Selasa bakal menyaksikan kebangkitan pasukan The Red Warriors kerana mereka turut mengintai peluang untuk memburu tiga mata penuh.

"Jangan terperangkap dengan rekod kekalahan Kelantan sebelum ini. Sebaliknya pemain perlu fokus kerana saya khuatir Kelantan akan bangkit malam esok," katanya.

Ditanya mengenai prestasi hambar Melaka United, Mohd Yusoff enggan menuding jari sepenuhnya kepada pengendali skuad itu, Eduardo Almeida.

Sebaliknya, beliau mengakui Melaka United masih belum ada ramuan mencukupi untuk menjadi sebuah pasukan yang mantap.

"Saya fikir bukan masalah jurulatih. Sekarang kita lihat pasukan belum cukup ramuan iaitu kekurangan pemain yang ada kualiti beraksi dalam saingan Liga Super.

"Majoriti pemain kita hanya ada pengalaman beraksi dalam Liga Perdana. Oleh itu, saya fikir Melaka United belum dapat kualiti yang kita kehendaki. Jadi banyak kelemahan perlu kita perbaiki untuk jadi sebuah pasukan yang matang," katanya.

Melaka United kini menduduki tangga ketiga Kumpulan C manakala Kelantan di tempat kedua tetapi kedua-duanya berkongsi enam mata.

Pada aksi Sabtu lalu, kedua-dua pasukan gagal mengutip sebarang mata dengan Melaka United dibelasah Kedah 2-6 manakala Kelantan tewas 0-2 di tangan UiTM.

Melaka United, Piala Malaysia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Terengganu Lawan Sukar - JDT

Artikel Lain