ROMBAKAN besar-besaran dalam pasukan Arsenal terpaksa ditangguhkan selepas beberapa pemain enggan menerima pengurangan gaji untuk meninggalkan kelab itu. The Gunners terdesak untuk menjual beberapa pemain yang dianggap pengurusnya Arsene Wenger sebagai lebihan di dalam pasukan. Namun Arsenal berdepan kesukaran untuk mengeluarkan pemain yang tidak dikehendaki dengan pembeli enggan memenuhi tuntutan gaji mereka. Nama-nama besar seperti Jack Wilshere, David Ospina, Kieran Gibbs, Carl Jenkinson, Lucas Perez, Calum Chambers dan Mathieu Debuchy dilaporkan menerima lampu hijau untuk meninggalkan kelab itu pada musim panas ini. Malah Arsenal boleh mengurangkan perbelanjaan sebanyak 19 juta pound sterling untuk gaji tahunan pemain itu sekiranya perjanjian berjaya dimuktamadkan dengan Watford, Crystal Palace, Fulham dan Galatasaray. Kelab tersebut antara yang berminat untuk mendapatkan khidmat pemain yang sudah tidak diperlukan Arsenal itu. Namun, kelab yang berpangkalan di utara London itu hanya menjual seorang pemain skuad utamanya, Wojciech Szczesny pada musim panas ini. Szczesny menyertai Juventus dengan nilai perpindahan sebanyak 10 juta pound sterling. Arsenal turut terdesak untuk mengurangkan perbelanjaan terhadap gaji pemain-pemain tersebut dalam usaha untuk melengkapkan perpindahan bintang Monaco, Thomas Lemar. Susulan itu, Arsenal kini berdepan dilema sama ada perlu mengurangkan harga bidaan pemain tersebut yang mahu dilepaskan. Rombakan merupakan keutamaan The Gunners pada musim panas ini dan kelab itu yakin mereka boleh menjual pemain yang dianggap lebihan dalam pasukan dalam masa terdekat.