ROBERT Kubica kembali ke saingan Formula Satu (F1) selepas enam tahun berehat panjang. Pelumba kelahiran Poland berusia 32 tahun itu terpaksa melupakan perlumbaan seketika selepas berdepan dengan kemalangan ngeri pada tahun 2011. Namun dia kini dilaporkan sudah bersedia untuk kembali ke litar dan telah menjalani ujian di Litar Hungary dengan menamatkan 142 pusingan di kedudukan keempat. Pasukan Renault memberi peluang memandu jentera 2012 awal tahun ini di Valencia serta Paul Ricard dan membuat keputusan untuk melibatkannya secara rasmi dalam ujian F1 bagi memastikan dia kembali membiasakan diri di litar sebelum bersaing pada musim 2018. Kubica mengakui dia tidak seratus peratus gembira ketika berada di litar selepas lapan jam menjalani ujian pemanduan. "Saya memang mahukan peluang ini sekali lagi tetapi belum pasti dan hanya tunggu dan lihat. "Tetapi kita perlu realistik dan bukan perkara mudah," jelasnya. Kubica mengalami kemalangan ketika menyertai perlumbaan rali di Itali yang menyebabkan beberapa kecederaan serius termasuk di bahagian lengan.