suria

Jafri Mahu Tebus Kekecewaan

PETALING JAYA: Gagal dalam saingan Liga Super, bukan bermakna pemain tidak boleh menyerlah dalam skuad kebangsaan, jelas penyerang Bawah 22 Tahun Negara, Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew.

Penyerang kebangsaan berusia 20 tahun itu mengakui diselubungi sedikit kecewa apabila skuad negerinya, Pulau Pinang berada di tangga tercorot Liga Super walaupun pasukannya sudah memberikan yang terbaik.

"Bagaimanapun perasaan 'down' itu diketepikan apabila saya dipanggil menyertai skuad kebangsaan. Momentum bersama skuad negeri dan kebangsaan amat berbeza.

"Jadi yang penting saya perlu cepat menyesuaikan diri," jelasnya kepada mStar Online.

Bekas pemain Harimau Muda ini tidak asing lagi dalam skuad kebangsaan. Dia dianggap antara penyerang berbisa dalam skuad Bawah 22 Tahun (B-22) kebangsaan yang dibimbing oleh Datuk Ong Kim Swee.

Jelas pemain kelahiran Pulau Pinang ini, walaupun pasukan negerinya tidak bernasib baik musim ini, dia tetap memberi komitmen terbaik dalam setiap perlawanan Liga Malaysia.

Jafri bersama bapanya.

"Belum masanya lagi untuk berada di kedudukan terbaik walaupun kami telah cuba melakukan yang terbaik.

"Kami tidak pernah berputus ada. Dan saya yakin persembahan dalam pasukan negeri juga memainkan peranan penting bagi mendapat tempat dalam skuad negara.

"Dan saya bersyukur kerana terus dipanggil jurulatih (Kim Swee) untuk mewakili negara," jelasnya yang menjadi antara pemain penting pada aksi Kelayakan Piala AFC Bawah 23 Tahun di Bangkok bulan lalu.

Jafri antara salah seorang pemain negara yang menjaringkan gol ketika kemenangan 3-0 ke atas Indonesia dalam aksi tersebut.

Sementara itu, Jafri berazam untuk memberi persembahan maksimum pada sesi pemilihan akhir skuad Sukan SEA bermula Ahad.

"Jurulatih akan memilih 20 pemain sahaja daripada 27 orang. Jadi saya tidak mahu berasa selesa dengan kedudukan sekarang dan perlu berebut tempat terbaik itu. Saya sedar semua pemain yang dipanggil hebat belaka.

"Mengenai skuad B-22 sekarang, saya yakin semuanya sudah bersedia untuk beraksi merebut 'ibu emas'. Ia adalah maruah negara.

"Dalam masa sama saya yakin tekanan pastinya ada, dan kami mengambilnya sebagai pembakar semangat untuk berjuang demi negara," tambahnya.

Foto kredit: Facebook Muhammad Jafri Chew

Profil pemain

Nama: Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew

Tarikh lahir: 11 Jun 1997

Tempat lahir: Pulau Pinang

Posisi: Penyerang

Kelab: Pulau Pinang FA

Kebangsaan: Malaysia B-22

Pengalaman: Bawah 17 Malaysia (2013-2014), Bawah 20 Tahun (2014-kini)

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain