KYLIAN Mbappe terus menimbulkan tanda-tanya berhubung perpindahan bernilai £160 juta (RM829 juta) ke Manchester City apabila berkongsi gambar bersama dengan pemain sayap Leroy Sane. Kurang dari 24 jam selepas mengalami kecederaan dalam perlawanan Ligue 1 yang menyaksikan kemenangan Monaco ke atas Touluse 3-2 pada Jumaat lalu, penyerang berusia 18 tahun itu berada di Manchester dalam satu acara promosi. Sane dan Mbappe tidak melepaskan peluang untuk bergambar bersama pada Sabtu. Mbappe dilaporkan menjadi subjek tawaran melebihi £100 juta dari Arsenal, Real Madrid dan Manchester City pada musim panas ini, setakat ini belum ada sebarang keputusan yang diumumkan mengenai statusnya di Monaco, kelab yang dibantunya untuk meraih gelaran Ligue 1 musim panas lalu. Akhbar Perancis, L'Equipe kini melaporkan bahawa Mbappe yang berusia 18 tahun itu telah membuat keputusan bahawa dia mahu meninggalkan Monaco untuk mengembangkan kerjayanya.