suria

V Shem-Wee Kiong Waspada Ancaman Lawan

Tan Wee Kiong (kanan) dan Goh V Shem (tengah) pada sidang akhbar Kejohanan Dunia 2017 di Ibu Pejabat Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Menara Naza pada Rabu.

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki utama negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong tetap berwaspada dengan lawan mereka walaupun mendapat laluan mudah pada Kejohanan Badminton Dunia 2017 di Emirates Arena, Glasgow, Scotland dari 21 hingga 27 Ogos ini.

Bagi Wee Kiong, walaupun undian pusingan awal nampak mudah, beliau dan V Shem tidak mahu terburu-buru memikirkan slot ke pusingan kalah mati dengan memberi fokus perlawanan demi perlawanan.

"Bagi kita undian agak boleh diterima.Kita tidak boleh cakap mudah kerana lawan juga adalah pasangan terbaik dunia namun kami berharap dapat beri persembahan terbaik di Scotland nanti," katanya kepada pemberita, di sini pada Rabu.

Wee Kiong pada masa sama berharap kedua-dua mereka dapat mengelakkan sebarang kecederaan  bagi melangkah lebih jauh dalam edisi ke-23 kejohanan berkenaan.

Pandangannya disokong  V Shem yang menzahirkan keyakinan mereka mampu memberikan persembahan terbaik di Scotland  walaupun gagal meraih keputusan positif dalam beberapa kejohanan bertaraf Siri Super sepanjang tahun ini.

"Kita sudah bersedia sepenuhnya menghadapi kejohanan dunia setelah melalui beberapa fasa latihan yang agak intensif," tegas V Shem.

Terdahulu, mereka hadir pada majlis undian Kejohanan Dunia 2017 di Ibu Pejabat Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Pada undian itu, V Shem-Wee Kiong yang diletakkan selaku pilihan kelima menerima undian mudah selepas meraih 'bye' pada pusingan pertama dan bakal berdepan pemenang perlawanan  pasangan India, Manu Attri-B. Reddy Sumeeth dan Chung Eui Seok-Kim Duk Young dari Korea Selatan pada pusingan kedua.

Cabaran sebenar menanti mereka apabila dijadual menentang pilihan keempat, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda dari Jepun pada pusingan ketiga.

Untuk rekod, V Shem-Wee Kiong terkandas pada pusingan ketiga pada Kejohanan Dunia 2015 di Jakarta, Indonesia.

Kejohanan Dunia 2016 tidak diadakan kerana memberi laluan kepada Sukan Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil. - Bernama

Artikel Sebelum

Barcelona Gigit Jari

Artikel Lain