KUALA LUMPUR: Jaguh perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei perlu menerima dengan terbuka keputusan undian Kejohanan Dunia 2017 yang akan berlangsung di Glasgow, Scotland, pada 21 hingga 27 Ogos ini. Ketua jurulatih perseorangan lelaki negara Datuk Misbun Sidek berkata menjelang kejohanan berkenaan, Chong Wei hanya perlu memberi tumpuan kepada sesi latihan agar ia dapat menghindar apa yang dirasakan menjadi kelemahan beliau. “Apa yang penting sekarang, Chong Wei perlu beri tumpuan kepada latihan supaya latihan itu dapat menutup perasaan curiganya itu. “Chong Wei juga kena terima bahawa inilah undiannya dan apabila dia terima undian ini, dia tidak perlu rasa bimbang,” katanya ketika ditemui pada perhimpunan bulanan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di sini Khamis. Menjelaskan mengenai skop latihan untuk pemain di ranking kedua dunia itu, Misbun berkata latihan untuk pemain berusia 35 tahun itu lebih menumpukan kepada aspek taktikal dan mengekalkan kecergasan sepanjang kejohanan itu nanti. “Saya lihat apa yang diberikan dapat dilaksanakan dengan baik. Cumanya, kita tidak boleh tahu bagaimana ketika beliau bertemu lawannya. “Saya harap apa yang dilakukan dapat memenuhi latihan pertandingan nanti,” katanya. Sementara itu, Chong Wei berkata beliau sedar untuk mencapai kejayaan bergelar juara dunia, beliau perlu berdepan sesiapa sahaja, sama ada mudah atau senang. “Saya sudah gagal beberapa kali di final kejohanan dunia dan ini adalah peluang saya untuk lakukan sesuatu. Saya perlu tingkatkan semangat, jaga kesihatan dan amalan pemakanan di samping rehat yang mencukupi,” katanya. Pada majlis undian yang berlangsung Rabu, Chong Wei yang diletakkan sebagai pilihan kedua kejohanan dijangka bertemu pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio 2016, Chen Long dari China jika layak ke suku akhir. Sebelum itu, beliau perlu berdepan seorang lagi pemain China, Tian Houwei di pusingan ketiga dan sekiranya melepasi halangan dua pemain lawan itu, Chong Wei, dijangka bertemu pilihan ketiga dari Denmark, Viktor Axelsen. Berkemungkinan Chong Wei akan mengulangi pertemuan epik dengan musuh tradisi dan juara dunia empat kali, Lin Dan pada final jika kedua-dua pemain itu berjaya melepasi halangan masing-masing ke akhir. Pemenang pingat perak Sukan Olimpik tiga kali itu, akan membuka tirai saingan menentang pemain Perancis, Brice Leverdez di pusingan pertama. Katanya, undian yang diperoleh oleh semua pemain adalah lebih kurang sama namun kehadiran empat pemain China dilihat agak sukar buat dirinya. “Kejohanan dunia adalah impian dan juga acara kemuncak saya. Saya tidak mahu komen mengenai mara ke final. “Saya kena bersedia secara mental dan akan tumpu pada satu-satu perlawanan dahulu. Saya akan bincang dengan jurulatih mengenai taktikal dan akan analisa pemain yang akan dilawan,” katanya. Skuad negara dijangka berlepas ke Glasgow pada 15 Ogos.Selain Chong Wei, skuad negara turut diwakili pemain beregu lelaki Goh V Shem-Tan Wee Kiong, Kah Ming Chooi-Low Juan Shen dan beregu campuran Tan Kian Meng-Lai Pei Jing. - BERNAMA