MENYEDARI ketika berjuang dalam sukan bola sepak apa sahaja boleh berlaku, Syamer Abba Kutty meletakkan satu penanda aras dalam kamus hidupnya. Syamer, pemain tengah skuad Bawah 22 Tahun kini dalam persiapan menghadapi Sukan SEA 2017 (KL2017) bermula 14 Ogos ini. Menurut bekas pelajar Penang Free School ini, dia amat bertuah kerana terpilih mewakili negara dalam bidang sukan yang diminati sejak kecil lagi. "Saya memang aktif bermain bola sepak sejak di bangku sekolah lagi. Dalam keluarga, hanya saya seorang sahaja yang serius dalam sukan ini. "Namun mereka tetap memberi sokongan kepada saya sehingga ke hari ini," ujar pemain berusia 20 tahun itu kepada mStar Online. Biarpun bergelar pemain bola sepak ini dianggap sebagai kerjaya tetap seseorang pemain bola kebangsaan, Syamer mempunyai pandangan tersendiri mengenainya. "Memang betul menjadi pemain bola sepak merupakan sumber rezeki kepada seseorang pemain. Tetapi saya tidak boleh selesa dengan keadaan ini. "Dalam bola sepak semuanya boleh berlaku kepada pemain. Mungkin satu hari nanti saya tidak diperlukan lagi, mungkin cedera dan sebagainya. "Jadi jauh di sudut hati saya, suatu hari nanti ingin sambung belajar dalam bidang kejuruteraan awam atau arkitek. "Memang meminati bidang itu, cuma sekarang saya teruskan impian saya bergelar pemain bola sepak terlebih dahulu. "Selepas itu, baharulah saya akan fokus kepada cita-cita itu," ujarnya. Anak kelahiran Georgetown ini memberitahu, dia kini dalam perancangan untuk memberi rumah sendiri. "Niat saya untuk menyimpan duit beli rumah sendiri sebagai aset masa depan. Saya masih lagi muda, dan kena berjimat-cermat. "Perasaan gembira apabila mendapat apa yang diinginkan dengan usaha sendiri," ujarnya yang suka bermain futsal dan badminton. Selain itu, Syamer mengakui dia belum mempunyai 'buah hati' seperti rakan-rakannya yang lain. "Tak 'dak' yang berkenan lagi. Payah sikit nak cari yang sesuai. Lagi pun saya masih mudah. Banyak lagi perkara yang perlu saya utamakan. "Biarlah buat masa sekarang saya fokus dalam bola sepak ini," jelasnya. Dalam pada itu Syamer gembira kerana Ketua Jurulatih B-22 Datuk Ong Swee kembali memanggilnya selepas tidak mendapat pelepasan negeri pada aksi Kelayakan Piala AFC di Bangkok Julai lalu. "Saya kena buktikan yang terbaik untuk terpilih berada dalam pasukan. "Saya yakin pasukan kita akan bermain dengan baik, lebih-lebih lagi di tempat sendiri," tambah pemain tengah Pulau Pinang itu.