JOSE Mourinho mengakui Manchester United masih mahu menandatangani seorang lagi pemain, tetapi dia tidak akan 'bising-bising' jika usaha itu tidak berjaya. Pengurus United itu telah mengemukakan empat posisi yang mahu diperkuatkannya kepada naib pengerusi eksekutif Ed Woodward sebaik jendela perpindahan dibuka, tetapi hanya Victor Lindelof, Romelu Lukaku dan Nemanja Matic yang tiba di Old Trafford setakat ini. Mourinho menegaskan dia berpuas hati dengan usaha ahli lembaga United dan tidak akan memprotes jika kelab tidak dapat melakukan penambahan baru sebelum jendela perpindahan ditutup. "Dalam analisis awal saya sejak Januari dan beberapa bulan lalu, saya memikirkan empat pemain tetapi saya bukan orang yang susah untuk bekerjasama walaupun mempunyai pandangan berbeza," kata Mourinho, menjelang perlawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris yang menyaksikan United menentang West Ham, Ahad. "Saya faham realiti pasaran, angka dan kelab telah melakukan 75 peratus daripada apa yang saya minta, kelab berjaya melakukannya dengan baik. "Saya tidak fikir saya kini berada dalam keadaan menangis, mengeluh, memprotes. Saya bukan berada dalam situasi tidak gembira. "Saya gembira dengan usaha kelab. Jika baki 25 peratus tidak dipenuhi, saya tidak akan merintih, saya akan teruskan dengan apa yang saya ada untuk cuba menang setiap perlawanan." Bos United itu mengakui dia masih berharap dapat menandatangani pemain walaupun sudah mengakui peluang mereka untuk menandatangani Gareth Bale dari Real Madrid sudah tertutup.