ARSENE Wenger menegaskan dia berhasrat melanjutkan kontrak Alexis Sanchez pada musim ini dan menyatakan bahawa tersingkir dari Liga Juara-Juara Eropah bermakna mereka boleh memberi tumpuan kepada Liga Perdana Inggeris. Sanchez mempunyai baki satu tahun kontrak semasa yang disepakati di Emirates dan dengan spekulasi tentang masa depannya yang masih diperkatakan, Wenger tetap tegas dengan pendiriannya berhubung pemain itu. Dalam wawancara eksklusif bersama Sky Sports, jurulatih dari Perancis itu berkata dia telah beberapa kali menangani situasi serupa sebelum ini di Arsenal dan berharap pemain antarabangsa Chile itu akan menandatangani perjanjian baharu. "Kami berada dalam keadaan yang sangat mudah, dia ada satu tahun lagi untuk pergi dan saya mahu dia kekal. Dan kalau boleh, sepanjang musim ini, lanjutkan kontrak. "Saya sudah banyak kali menangani keadaan seperti ini, sebab ketika kami membina stadium, kami mempunyai sekatan seperti kewangan dan kami tidak berada di kedudukan terdesak di mana kami ada pilihan untuk buat keputusan menjual pemain. "Kami berharap dapat menuju masa depan dengan baik dan menjadi lebih kuat," kata Wenger. Ini adalah kali pertama dalam tempoh 20 tahun Arsenal tidak berada di Liga Juara-Juara, tetapi Wenger berkata ini bermakna mereka dapat memberi tumpuan penuh kepada Liga Perdana. "Ya, itu mengecewakan, kerana sudah 20 tahun kami berada di Liga Juara-Juara. "Tetapi Liga Perdana turut berkait dengan perlawanan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara, banyak kali saya merehatkan beberapa pemain dalam perlawanan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara kerana permainan liga berikutnya sangat sukar. "Jadi keutamaan mutlak sekarang adalah Liga Perdana." Arsenal telah memulakan kempen Liga Perdana dengan satu kemenangan dan satu kekalahan, mengalahkan Leicester 4-3 sebelum tewas kepada Stoke 0-1.