BARCELONA akan berdepan 'bencana' jika mereka cuba menandatangani Willian dari Chelsea, menurut wartawan Duncan Castles. Willian gagal mendapat tempat dalam pasukan utama di bawah kendalian Antonio Conte musim lalu. Sementara itu, Barcelona sedang menilai beberapa sasaran, dalam usaha mereka mencari pengganti Neymar yang menyertai Paris Saint-Germain dalam perjanjian rekod dunia bernilai £200 juta. Gergasi Sepanyol itu berusaha gigih mendapatkan Philippe Coutinho, tetapi setakat ini tiga tawaran kelab itu telah ditolak. Liverpool masih teguh dengan pendiriannya dan kononnya akan menolak tawaran terakhir £138 juta dari Barca untuk mendapatkan Coutinho jika ia dibentangkan. Walaupun Barca hampir melengkapkan perpindahan Ousmane Dembele, Willian muncul sebagai alternatif ketika usaha mendapatkan Coutinho samar. Tetapi Castles berpendapat perpindahan Willian itu tidak baik dari perspektif pemasaran kerana dia tidak sesuai dengan profil pemain yang menjadi ikutan ramai. "Dari perspektif bola sepak memang masuk akal untuk mendapatkan Willian pada harga yang berpatutan," kata Castles kepada The Transfer Window. "Dia akan menjadi tambahan yang lebih baik kepada skuad Barca berbanding Philippe Coutinho. "Dari perspektif perhubungan awam, iaitu perspektif Barcelona berkerja, ia tidak berfungsi untuk mereka kerana Willian bukan pemain glamour. "Dia bukan sasaran yang dirancang, dia telah dilihat sebagai pemain yang ke-12 dan dalam banyak hal, dia disingkirkan. "Ia tidak kelihatan baik jika lembaga melihat dia adalah pemain untuk menggantikan Neymar," katanya.