CHELSEA dilaporkan bersetuju bayaran perpindahan dengan Arsenal untuk membawa masuk Oxlade-Chamberlain ke Stamford Bridge. Oxlade-Chamberlain yang menyertai Arsenal pada 2011 terdesak untuk meninggalkan Emirates dan menolak tawaran yang dikemukakan The Gunners minggu lalu. Liverpool dan Chelsea berminat untuk mendapatkan khidmat pemain berusia 24 tahun itu tetapi Sky Sports melaporkan juara Liga Perdana Inggeris itu bersetuju dengan bayaran diminta Arsenal. Difahamkan bayaran perpindahan Oxlade-Chamberlain bernilai 35 juta pound sterling telah dipersetujui antara Arsenal dan Chelsea. Oxlade-Chamberlain dijangka melakukan pemeriksaan kesihatan dalam tempoh beberapa hari lagi. Pemain kebangsaan England itu yang diturunkan ketika Arsenal tewas 0-4 Anfield, Ahad lalu kini sedang memperkuat skuad The Three Lions di St George Park. Bercakap kepada pemberita pada Ahad, Conte mengesahkan kelab itu sedang berusaha keras untuk memuktamadkan beberapa perpindahan penting pada saat akhir. "Empat hari sahaja lagi sebelum jendela perpindahan pemain ditutup. Saya percaya kelab berusaha keras untuk memperbaiki pasukan. "Harus diingat pada September kami perlu mengharungi tujuh perlawanan dan saya perlu melakukan penggiliran pemain kerana amat sukar untuk beraksi dalam tujuh perlawanan selama sebulan dengan pemain sama," katanya.