SEREMBAN: Malam ini merupakan penentuan bagi mendapatkan ibu segala pingat emas dalam temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) iaitu perlawanan bola sepak peringkat akhir antara Malaysia menentang Thailand. Ibu kepada N. Thanabalan, V. Thiru Sundari, 52, berkata sewaktu menyaksikan perlawanan Malaysia menentang Indonesia kelmarin, bulu romanya meremang apabila negara menerima asakan bertubi-tubi daripada pihak lawan. "Ketika gol dijaringkan pada perlawanan itu, saya tidak tahu bahawa anak saya yang menjaringkan gol hingga beberapa minit kemudian apabila satu stadium bergema dengan laungan 'Thanabalan-Thanabalan'. "Dia bukan sahaja anak saya, dia adalah anak Malaysia kerana gol yang dihasilkan bukan atas kudrat anak saya semata-mata tetapi hasil kerjasama keseluruhan pemain Malaysia," katanya. S. Nadarajah, 56, bapa kepada N. Thanabalan, merupakan orang penting dalam karier wira negara itu kerana beliaulah yang bertanggungjawab dalam mencungkil bakat pemain negara tersebut dan melatihnya dari kecil pada setiap minggu di padang Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, Sungai Gadut, dekat sini. Walaupun Nadarajah tidak dapat hadir ke stadium malam ini, beliau tetap memberikan sokongan tidak berbelah bahaginya kepada anaknya. Beliau dan keluarga akan bersama-sama menonton aksi Thanabalan melalui televisyen di rumah mereka. Thanabalan meraikan jaringannya ketika menundukkan Myanmar. IZZRAFIQ ALIAS/The Star. Nadarajah lumpuh dari dada ke bawah, sejak April 2013, apabila motosikal yang ditunggangnya dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kereta, sewaktu dalam perjalanan ke tempat kerja di Kuala Lumpur. "Saya sudah lumpuh selama lima tahun dan anak saya telah ikat kontrak dengan pasukan bola sepak Negeri Sembilan bagi membantu saya dari segi kos perubatan sebelum Thanabalan dipinjamkan ke Felcra F.C. Walaupun anak kami sibuk dengan latihan bola sepaknya, dia tidak pernah mengabaikan keluarganya yang juga tonggak kekuatannya dan Thanabalan memikul tanggungjawab keluarganya lebih daripada dirinya sendiri," katanya. Nadarajah berkata anak sulungnya itu kini menjadi ketua keluarga dan Thanabalan sanggup berulang-alik dari tempat latihan ke Seremban, demi menjaga kebajikan keluarga. Beliau berkata sejak Thanabalan menjadi ketua keluarga, anaknya itu menanggung segala-galanya seperti makan, bil letrik, kos perubatan serta turut menjaga dua adiknya iaitu Kheeteeswaran, 19, dan Keerthikaa, 13. "Saya menjangkakan Malaysia akan memenangi perlawanan final menentang Thailand dengan keputusan 2-1 dan saya tidak kisah siapa yang menjaringkan gol asalkan negara dapat merangkul pingat emas," katanya. Malaysia telah melayakkan diri untuk ke final melalui gol sensasi pada minit akhir, di mana wira negara N. Thanabalan telah menanduk masuk sepakan penjuru Muhammad Nor Azam Abdul Azih pada minit ke-87. - BERNAMA