ZLATAN Ibrahimovic menegaskan dia akan kembali bersama Manchester United dalam masa terdekat. Ibrahimovic, 35, diberi pelepasan oleh United pada akhir musim lalu selepas mengalami kecederaan lutut jangka panjang. Walau bagaimanapun, dia berjuang untuk pulih dengan cepat dan menandatangani semula perjanjian satu tahun untuk Red Devils. Pemain dari Sweden itu telah menunjukkan peningkatan memberangsangkan dan dia sendiri telah memberitahu khabar baik itu di Instagram dengan menyiarkan video dia sedang berlari. Terbaru, dia sekali lagi menunjukkan perkembangan dirinya dengan menyatakan bahawa lututnya hampir pulih seperti sediakala. "Lutut hampir pulih macam biasa. Saya mahu semua orang bersabar. "Dan apabila saya kembali, dunia akan tahu..." katanya. Walau bagaimanapun, Ibrahimovic perlu berjuang untuk menjadi penyerang utama United selepas Romelu Lukaku menunjukkan persembahan berkesan di Old Trafford. Pemain antarabangsa Belgium itu sudah tentu tidak mahu melepaskan peluangnya untuk berada dalam kesebelasan utama. Lukaku, 24, berkata: "Saya tidak takut dengan Zlatan atau persaingan. Dia akan membantu mencapai matlamat kami memenangi gelaran dan kami memerlukan apa yang ada pada dirinya. "Dia akan menambah banyak kualiti kepada pasukan dan membantu kami mencapai matlamat memenangi gelaran. Saya tidak takut bersaing sebagai penyerang atau dengan Zlatan. "Di United semuanya baik-baik saja bagi saya, begitu juga pra-musim dan ia membantu saya mengenali ramai pemain. "Pengurus banyak membantu saya, jadi semuanya sangat positif," katanya. -expressUK