CARLO Ancelotti terbuka untuk kembali ke pentas Liga Perdana Inggeris pada musim panas akan datang jika jodohnya bersama Bayern Munich tidak panjang. Baru-baru ini timbul khabar angin bahawa Pengurus Hoffenheim Julian Nagelsmann dikaitkan dengan perpindahan ke Bayern pada hujung musim ini. Malah kelab gergasi Jerman itu dilaporkan telah mengubah terma dan syarat dalam kontrak Ancelotti. Ini bermakna pengendali kelahiran Itali itu bebas menyertai mana-mana kelab pada musim panas akan datang. Menurut ESPN, Ancelotti gembira bersama Bayern tetapi pengendali berusia 58 tahun itu mahu kembali ke England jika kelab tersebut memutuskan untuk menukar pengurus. Ancelotti disebut-sebut sebagai pengganti Arsene Wenger memandangkan pengendali Perancis itu hanya mempunyai baki kontrak selama setahun lagi bersama Arsenal. Wenger menandatangani kontrak baharu pada hujung Mei lalu tetapi mengakui dia teragak-agak untuk meneruskan khidmatnya di Emirates. Ancelotti pernah memimpin Chelsea selain turut disenarai pendek oleh Manchester United dan Liverpool sebelum kehadiran Jose Mourinho dan Jurgen Klopp. Mengulas mengenai Nagelsmann yang dikaitkan dengan Bayern awal minggu ini, Ancelotti berkata:"Saya fikir ia normal kerana seorang pengurus muda seperti Julian mempunyai impian untuk melatih kelab terkemuka dunia. "Malah dia juga warga Jerman, ia sesuatu yang normal dan tahun lalu saya beritahu dia bahawa mungkin pada masa depan dia berpeluang menjadi pengurus sebuah kelab hebat," kata Ancelotti.