PAUL Pogba tidak mengendahkan nasihat pasukan perubatan Manchester United dan berlatih secara peribadi walaupun terdapat kebimbangan mengenai kecederaan'hamstring'nya. Bintang Perancis itu mungkin terlepas untuk beraksi selama enam minggu akan datang selepas cedera ketika menentang FC Basel dalam perlawanan Liga Juara-Juara, menyebabkan dia terpaksa digantikan selepas 19 minit perlawanan. Menurut The Sun, Jose Mourinho naik angin dengannya kerana bertindak bertentangan dengan perjanjian yang ditandatangani, yang mana dia sepatutnya mengikut nasihat kakitangan perubatan United, bukannya berlatih dengan pelatih peribadi. Pogba mengalami kecederaan yang sama musim lalu, terlepas bermain dalam tiga perlawanan, dan diberi arahan khusus tentang bagaimana untuk mencegah masalah itu daripada berulang. Tetapi dia mengabaikan amaran-amaran tersebut dan menjalankan latihan peribadi. Pasukan perubatan United percaya ia akan menyebabkan dirinya lebih terdedah untuk terus berdepan kecederaan. Pengurus Jose Mourinho memberitahu MUTV: "Saya tidak tahu tahap keparahannya, saya hanya tahu dari pengalaman lalu, ia adalah kecederaan otot. "Berdasarkan pengalaman saya, kecederaan otot menghalang anda untuk bermain selama beberapa minggu, saya rasa, tapi saya belum bercakap dengan jabatan perubatan." Pogba dijangka tidak akan kembali sehingga rehat antarabangsa berakhir, akhir Oktober ini dengan Marouane Fellaini yang menjaringkan gol selepas menggantikan Pogba menjadi calon terbaik untuk diberikan tempat di bahagian tengah buat masa sekarang. -metroUK